BMK 3033! »

Tuesday, 21 May 2013


Tuesday, 14 May 2013

DEFINISI MEMBACA


Membaca merupakan suatu kemahiran yang sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ia diajar dan diterapkan secara berkesan dan mempunyai hubungan dengan kemahiran mendengar, bertutur, menulis dan mengira.

       Menurut Anderson dan Pearson dalam Mahzan Arshad (2008), membaca adalah satu proses pembentukan dan pemberian makna menerusi interaksi antara pembaca dengan bahan yang dibaca ataupun proses membina jambatan antara bahan yang dibaca dengan pengalaman latar si pembaca. Wilkinson (1985), pula mengatakan bahawa membaca juga boleh dilihat sebagai proses memilih dan mengambil tindakan apabila pembaca menyesuaikan proses membaca dengan tujuan dan jenis teks yang dibaca.

        Menurut Miles Tinker dan Constance Mc Cullough, membaca adalah kegiatan yang meliputi kepada pengenalan lambang-lambang tertulis atau lambang yang dicetak dan berperanan sebagai stimuli untuk mengingatkan makna yang diperoleh daripada pengalaman yang lalu dan penyusunan makna baru dengan jalan memanipulasi konsep yang telah dimiliki oleh pembaca.

membaca amalan mulia





TEORI MEMBACA (TEORI PROSES MEMBACA)


Empat model teori membaca yang menunjukkan cara makna diperoleh iaitu:

i. Model Teori Bottom-Up


Teori membaca secara bottom-up adalah pembaca memulakan bacaan dari bawah ke atas. Pada permulaan bacaan, pembaca akan membaca dengan melihat kesimpulan, isi dan makna secara keseluruhannya. Proses pembacaan seperti in dilakukan untuk mengetahui kandungan secara keseluruhan dan kemudian kandungan secara terperinci.

ii. Model Teori Top-Down


Model ini menjadikan kegiatan membaca sebagai sebahagian daripada proses pengembangan skema seseorang pembaca  secara terus-menerus menguji dan menerima atau menolak hipotesis yang ia buat sendiri pada saat proses membaca berlangsung. Proses membaca secara top-down adalah pembaca membaca daripada pendahuluan, isi dan kesimpulan atau ianya adalah pembacaan daripada atas ke bawah. Proses pembacaan mengikut teori ini sangat sesuai dalam pembacaan bahan-bahan ringan seperti novel.

iii. Model Teori Interaktif


Teori membaca secara interaktif merupakan kombinasi pemahaman antara model top-down dan bottom-up. Proses membaca mengikut teori ini lebih memerlukan nafigasi, kawalan idea, sistem pencarian yang sistematik. Proses interaktif seseorang pembaca terhadap bahan bacaan yang dibaca adalah merupakan suatu proses kawalan yang digunakan secara interaktif antara pembaca dengan bahan bacaan tersebut.

iv. Model Teori Transectional


Teori membaca mengikut transectional merupakan proses membaca timbal balik. Proses membaca ini merupakan pembacaan secara transaksi antara pembaca dengan bahan yang dibaca. Teori ini digunakan oleh pembaca untuk memahami, meneliti dan mengaplikasikan dari bahan bacaan kepada pelaksanaannya. Teori bacaan ini banyak digunakan oleh pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.




BELAJAR MEMBACA




Membaca ialah satu proses pembentukan dan pemberian makna melalui interaksi pembaca dengan bahan bacaannya. Proses membaca ini sangat berkait rapat dengan proses penglihatan. Simbol, lambang atau tulisan-tulisan yang dilihat pada satu permukaan akan ditukarkan menjadi persembahan minda yang bermakna. Mata dalam proses membaca akan berfungsi untuk melihat simbol, lambang atau pun tulisan. Ketika membaca, mata akan bergerak mengikut garis dalam bahan yang bertulis. Mata akan tertumpu pada sesuatu bahagian dalam perkataan, perkataan dan ayat mengikut kelancaran pembaca.  Bahan bertulis yang dilihat itu akan ditukar menjadi isyarat dan isyarat seterusnya ditukar menjadi maklumat. Maklumat itu akan dihantar ke otak untuk proses pembentukan makna ataupun kefahaman.


Belajar Membaca

Antara langkah untuk belajar membaca adalah seperti berikut:

  1. mengenal pasti permukaan bercetak dan memecahkan kod perkataan.
  2. mengenal pasti bentuk ortografik.
  3. memperoleh maksud perkataan berdasarkan pemikiran pembaca


Seterusnya, terdapat strategi dalam belajar membaca iaitu:
  • membaca haruslah mempunyai motivasi dan tujuan.
  • bijak mencari bahan bacaan yang mudah difahami
  • membuat semakan ringkas secara menyeluruh bahan yang dibaca

Hal ini bertujuan untuk memastikan bahan bacaan tersebut akan menjawab persoalan dalam pemikiran. Dalam belajar membaca, guru perlu menyokong murid di belakang dengan memberikan panduan mengenai cara untuk memahami sesuatu frasa atau perkataan dengan mengaitkan frasa atau perkataan tersebut dengan maksud keseluruhan petikan. Guru juga boleh menambah kefahaman muridnya dengan menggunakan gambar rajah bagi memperlihat maksud secara bersepadu.

    Selain itu guru boleh memberikan sokongan pemahaman dengan memberikan pelajarnya peluang untuk melawat kembali pemahaman yang mereka ragukan. Setelah mempunyai kemahiran yang kukuh untuk memahami, barulah pelajar tersebut dilepaskan untuk memahami bahan bacaannya sendiri tanpa sokongan guru. Antaranya dengan menentukan bahan yang bersesuaian, panjang pendek, kedalaman kandungan bahan yang dikemukakan kepada pelajar dan penggunaan bahasa dalam petikan. Guru juga boleh mengadakan sesi persidangan membaca bagi pelajar yang memerlukan sokongan yang lebih kerap. Dalam sesi ini, guru perlu banyak menjalankan teknik permodelan, iaitu guru membaca dan diikuti oleh pelajar yang lemah tersebut dalam satu tempoh yang singkat tetapi kerap. Guru juga boleh melaksanakan teknik memecahkan ayat yang panjang kepada ayat yang lebih pendek supaya lebih mudah difahami bagi kelas atau kumpulan yang bermasalah memahami petikan yang sukar. 

      Seorang pembaca yang aktif akan menggunakan pelbagai strategi untuk memudahkan pemahamannya. Ketika membaca, mereka akan menguji pemahaman dengan menyimpan rekod terhadap isi penting bahan bacaan. Mereka juga akan menggabungkan antara maklumat baru dan lama dengan membuat hubungan, taakulan, mencipta pembayangan atau menokok tambah apa yang diperkatakan oleh penulis. Kemudiannya mereka akan mengawal pemahaman dengan menggunakan sistem petanda bagi memahami perkataan yang tidak difahami dengan menentukan maklumat yang penting dalam petikan.


      Seorang pembaca yang baik juga akan menggunakan strategi yang aktif setelah selesai membaca dengan membuat sinopsis tentang bahan bacaan berasaskan plot atau idea utama, dan juga tujuan serta perspektif penulis bahan tersebut. Seterusnya mereka akan memberikan respon dengan menyatakan pendapat atau pandangan sendiri terhadap bahan yang dibaca. Mereka juga menggunakan strategi melawat kembali tujuan asal membaca petikan tersebut bagi memastikan sama ada persoalan sebelum membaca sudah terjawab ataupun tidak, dan yang terakhir menggunakan bahan bacaan dalam aplikasi.



MASALAH DALAM MEMBACA


Faktor-Faktor Masalah Membaca


Terdapat dua faktor utama mengapa terjadinya masalah membaca Dua faktor tersebut ialah:

1. Faktor Fizikal

Kecacatan fizikal yang teruk amat mempengaruhi berlakunya masalah ini. Antara kecacatan fizikal tersebut termasuklah:

Penglihatan - Pada peringkat kanak-kanak mereka menggunakan penglihatan pada peringkat awal dalam kemahiran membaca iaitu mencerap imej huruf yang dipaparkan pada permukaan bertulis. Jika hal ini tidak dapat dilakukan mereka akan mengalami kesukaran untuk meneruskan proses membaca pada peringkat seterusnya iaitu peringkat mendeekod.


  • Juling: menggunakan (fokus) kedua-dua biji mata ke arah yang sama. Kesannya imej bagi suatu benda yang sama kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya.
  • Rabun jauh: tidak dapat melihat bagi jarak yang jauh.
  • Rabun dekat: (myopia) tidak dapat melihat bagi jarak yang dekat.
  • Astigmatism: penglihatan yang kabur akibat dari kurang fokus cahaya pada salah satu/kedua-dua hujung retina.
  • Amblyopiks: satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak.



Persepsi penglihatan

Antara simptomnya:

  • Perkataan kelihatan seolah-olah satu percampuran huruf yang tidak bermakna, misalnya muzik menjadi muski.
  • Huruf/perkataan menjadi terbalik- contoh b-d, bas-das
  • Jika jenis percetakan / saiz huruf bertukar, pelajar tidak dapat mengenal pasti huruf yang sebenar
  • Pelajar yang tidak dapat membezakan suku kata


Pendengaran (Auditori)

Menghadapi masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonanTerdapat dalam 2 kategori iaitu:


  1. Kerencatan sementara- boleh dirawat dengan menggunakan rawatan doktor perubatan biasa seperti pembersihan tulang biasa/ antibiotik
  2. Kerencatan kekal- perlu rawatan pakar sama ada rawatan jangka panjang/ pembedahan


Pertuturan


  • Punca masalah pertuturan –kecelaruan bunyi suara, nada yang tidak menentu,pertuturan spastik.
  • Masalah emosi,kelewatan pertumbuhan, kurang pendengaran, pertumbuhan kerongkong yang tidak lengkap, sumbing dan kecederaan otak/ sebahagian otak.
  • Namun, tidak semua masalah ini boleh menyebabkan masalah membaca.


2. Faktor Neurologikal


-Neurologi: kajian yang berkait rapat dengan sistem saraf iaitu sistem saraf manusia termasuklah sistem dalam otak, tulang belakang, urat ganglia dan bahagian organ reseptor. Sebahagian dari sistem neurologi ini boleh memberikan kesan terhadap kebolehan membaca.


Kerosakan Otak

  • Punca: kecederaan ,penyakit / kesan bahan toksik yang mencemar otak/ bahagian otak.
  • Boleh terjadi sejak dilahirkan (pre-natal neurological disorder).
  • Menyebabkan lesion / perubahan yang luar biasa terhadap bentuk .
  • Lazimnya, pengesanan terhadap kecederaan otak ini boleh dilakukan menerusi electroencephalogram (EEC)


Neurologi Tidak Berfungsi

  • Bahagian otak yang tidak berkembang sepenuhnya/bahagian otak yang tertutup sebahagiannya sejak dilahirkan.
  • Buta perkataan bagi orang dewasa-diakibatkan oleh serangan jantung.
  • Hyperlexia- seseorang yang lambat perkembangan bahasa dan akal.


Faktor Keturunan

  • Kembar seiras dan kembar seibu menunjukkan pencapaian yang berbeza.
  • Perbezaannya kembar seiras lebih rapat hubungannya dalam Lpencapaian berbanding kembar seibu.
  • Latar belakang keluarga yang tahu membaca/ tidak.
  • Pengaruh persekitaran-galakan membaca


Faktor Emosi

  • Kegagalan dalam membaca akan mengganggu emosi pelajar.
  • Wujud rasa rendah diri,terasing,tidak bermotivasi,kecewa, malas,gagal dan sebagainya.
  • Gangguan emosi-kes penderaan, kes kanak-kanak terbiar & kes perpecahan keluarga


Faktor sosioekonomi


  • Status Sosioekonomi (SES) sebagai pemboleh ubah terhadap pencapaian pelajar.
  • Murid-murid SES rendah-lazimnya mempunyai pencapaian rendah.
  • Murid-murid SES tinggi-lazimnya mempunyai pencapaian tinggi.








PEMILIHAN BAHAN BACAAN



Faktor Tulisan Yang Jelas


Faktor tulisan yang jelas dalam penulisan ini merujuk kepada aspek reka bentuk sesuatu tulisan. Reka bentuk tulisan ini mengambil kira pelbagai aspek seperti jenis saiz tulisan, jenis fon, jarak antara huruf , jarang antara baris, saiz muka surat, ketebalan cetakan tulisan, ketebalan kertas dan pelbagai lagi. Semua ini, didapati boleh mempengaruhi kebolehbacaan bahan. Jenis dan saiz fon yang berbeza diperlukan untuk kategori pembaca yang berbeza. Contoh di bawah dapat menerangkan hal ini dengan lebih jelas. Contoh di atas menunjukkan pengaruh saiz tulisan. Contoh di bawah pula menunjukkan pengaruh jenis tulisan.


  • this is an example of 12 point. Type sizes in the range 12 point to 14 point are recommended for seven to eight year old children.
  • this is an example of 11 point. This recommended as being the optimal size of type for ease speed of reading with adult readers.
  • this is an example of 10 pointThe range 10-12 point is recommended for children age nine to thirteen years.

  • Berdindingkan papan dan beratapkan genting. (Times New Roman)
  • Berdindingkan papan dan beratapkan genting. (Impact)
  • Berdindingkan papan dan beratapkan genting.(Monotype Corsiva)
  • Berdindingkan papan dan beratapkan genting. (Curlz MT)


Faktor Ilustrasi Dan Warna

Ilustrasi turut membantu meningkatkan atau menurunkan tahap kebolehbacaan bahan bergantung kepada cara persembahan dan penggunaannya dalam bahan bacaan. Kajian membuktikan kanak-kanak amat menggemari bahan bacaan yang banyak mengandungi ilustrasi. Hal ini, secara langsung akan memudahkan mereka membaca bahan tersebut kerana adanya faktor minat di situ. Selain itu, ilustrasi juga boleh membantu meningkatkan kefahaman pembaca terhadap sesuatu konsep seperti ilustrasi yang terdapat dalam buku-buku sains.Namun demikian penggunaan ilustrasi ini juga ada kelemahannya iaitu ia boleh menyebabkan pembaca malas membaca dan hanya merujuk kepada ilustrasi untuk mendapatkan sesuatu maklumat atau konsep. Penggunaan warna turut mempengaruhi kebolehbacaan sesuatu bahan. Ini adalah kerana ia meningkatkan minat pembaca terhadap bahan bacaan.

      Penggunaan dakwat warna selain daripada warna hitam dan penggunaan kertas lain daripada warna putih boleh mengurangkan kejelasan bahan bacaan. Kajian telah menunjukkan penggunaan dakwat warna hitam, biru dan hijau adalah lebih jelas dan mudah dibaca. Dalam kajian yang telah dijalankan oleh Andrews & Scharff (2002) dalam Mohamad Zaki (2010), mereka telah menemui bahawa murid-murid pra sekolah lebih meminati buku yang bergambar terang dan realistik berbanding buku-buku yang mengandungi gambar-gambar terang dan abstrak, suram dan realistik serta suram dan abstrak.

Faktor Perbendaharaan Kata


Perbendaharaan kata adalah faktor yang paling penting dalam menentukan tahap kesukaran bahan bacaan. Kajian oleh Harrison (1980) dalam Khairusy Syakirin (2007), telah membuktikan perbendaharaan kata adalah faktor yang paling meyakinkan untuk meramal kesukaran teks.

    Ada banyak cara mengukur kesukaran teks dengan menggunakan perbendaharaan kata, namun demikian dua cara yang paling biasa digunakan adalah dengan mengukur panjang perkataan dan kekerapan perkataan. Panjang perkataan dikira dengan cara mengira suku kata atau jumlah huruf dalam perkataan tersebut. Manakala kekerapan perkataan dikira dengan cara melihat berapa kerap sesuatu perkataan digunakan. Perkataan yang panjang selalunya ialah perkataan yang jarang digunakan manakala perkataan yang kerap digunakan merupakan perkataan yang mudah kerana boleh lebih pantas dikenali dan difahami.


Faktor Kesukaran Konseptual


Faktor-faktor kesukaran konseptual berkait rapat dengan faktor perbendaharaan kata secara am. Namun demikian, kedua-dua faktor ini sepatutnya dianggap perkara yang berlainan. Dalam pengukuran kebolehbacaan faktor kesukaran konsep adalah faktor yang lebih penting berbanding dengan faktor-faktor lain. Namun demikian, ia jarang diambil kira kerana ia adalah amat sukar untuk menganggarkan kebolehpercayaannya. Kesukaran ini timbul kerana tiada kriteria yang boleh dirundinggunakan  untuk mengukur kesukaran konseptual itu sendiri.




PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA


Pendekatan Membina

Pendekatan membina ini juga dikenali sebagai pendekatan sintesis yang mana pendekatan ini menghasilkan kaedah abjad. Dalam pembelajaran bahasa, murid akan belajar secara beransur-ansur daripada peringkat yang mudah kepada yang lebih kompleks. Hal ini bertujuan untuk memudahkan murid memahami perkara yang mereka pelajari secara berstruktur dan menyeluruh. Dalam pendekatan ini, murid akan diajar dengan cara atau kaedah menulis abjad, suku kata, perkataan, frasa, dan ayat sehinggalah mereka boleh mencapai kaedah penulisan wacana dengan baik.

Pendekatan Cerakinan

Menceraikan satu bahagian yang besar kepada bahagian-bahagian yang kecil merupakan pendekatan dalam membaca seterusnya iaitu pendekatan cerakinan. Pendekatan ini bertujuan supaya murid dapat mengeja dan membaca huruf, suku kata, perkataan dan ayat yang baik. Oleh itu, daripada sebuah ayat lengkap guru akan mencerakinkan kepada beberapa perkataan bagi memudahkan murid untuk membaca. Pendekatan ini akan memudahkan lagi guru untuk mengajar menggunakan kaedah fonetik dan kaedah membaca dengan betul. Dalam pendekatan ini, terdapat 4 peringkat latihan yang boleh diberikan kepada murid iaitu latihan menyebut perkataan, latihan membatangkan perkataan kepada suku kata, latihan membina, dan menyebut semula perkataan yang sama serta latihan membina dan membaca ayat sempurna.


Pendekatan Pengalaman Bahasa (LEA) 

Pengalaman bahasa merupakan satu pendekatan untuk mengajar membaca berdasarkan aktiviti dan cerita yang dibangunkan daripada pengalaman peribadi pelajar. Secara ringkasnya, pendekatan ini adalah yang pertama dibangunkan untuk penutur. Menurut Jones & Nessel (1985); pengalaman adalah satu kaedah yang berfungsi dengan baik dengan pengajaran bacaan berasaskan kandungan iaitu bacaan berasaskan bidang tertentu. Pada pandangan Vacca pula, pendekatan ini sering dikaitkan dengan teknik imlak cerita.

       Terdapat beberapa matlamat apabila melaksanakan pendekatan pengalaman bahasa ini iaitu untuk merangsang bahasa lisan seberapa banyak yang boleh, tetapi tidak memfokuskan untuk membetulkan tatabahasa. Selain itu, hasil pengalaman bahasa ialah menulis dan membaca. Pendekatan ini juga menggalakkan pelajar untuk bercakap mengenai pengalaman mereka. Untuk melaksanakan pendekatan pengalaman bahasa ini hanya memerlukan beberapa langkah yang mudah. Pertama, guru perlu merangsang perbincangan contohnya mengenai ‘kapal’. Kemudian perbincangan tersebut perlu dijana agar ia bercambah atau berkembang. Contohnya mengenai perkara yang mereka lihat, dengar, rasa, dan bau. Ketiga, kesemua idea- idea  atau pemikiran pelajar akan direkodkan (diimlakkan). Kemudian, perbincangan akan merujuk semula kepada pemikiran para pelajar dan dibaca bersama – sama. Seterusnya, bahan – bahan lain yang berkaitan dengan topik ‘kapal’ tadi akan dibaca. Akhirnya, pengukuhan pembelajaran akan dilaksanakan dengan menulis, mendengar, dan meneliti. Terdapat kekuatan dan kelemahan dalam melaksanakan pengalaman bahasa (LEA) ini.

      Antara kekuatannya, kemajuan anak–anak berdasarkan individu pada kadar kendiri dapat dilihat serta melibatkan integrasi semua kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain itu, pendekatan ini juga amat menjimatkan. Namun kelemahannya dapat dilihat apabila guru banyak menghabiskan banyak masa untuk melaksanakan pendekatan ini untuk melakukan kerja–kerja merancang pengajaran, mengambil imlak, merancang program individu dan mengawas prestasi pelajar. 



BIBLIOGRAFI

  • Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim (September,17). Membaca Bukan Budaya. Utusan Online. Diperoleh daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.       asp?y=2007&dt=0917

  • Jeniri Amir. (2008). Bahasa Kebangsaan Lambang Jati Diri Bangsa. Pelita Bahasa         Ogos: halaman 10-12.

  • Mahzan Arshad. (2008). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu Strategi Perancangan dan Pelaksanaan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

  • Mohamad Zaki Yusof. (2010). Sejarah Penubuhan Perpustakaan Negara            Malaysia,        Kuala Lumpur: Utusan Malaysia, 25 November 2010.

  • Nurazmi Kuntum. (2008). Sastera Kanak-kanak dan Kaedah Pengajaran. Bandar Seri   Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei

  • Wan Roslili Abd. Majid. (2006). Buku memperkaya minda. Majalah Kefahaman Islam   Visi, Februari: Halaman 13-15.